|
KALAU TAK LARAT BERSILAT ELOK LAGI BERSILA
YANG BONGAK DAN
BONGOK
Apakah jenis manusia yang dipilih oleh Mahathir menjadi pemimpin
negeri kebelakangan ini ? Semakin ramai yang memperagakan dua ciri yang menjijikkan. Ada
yang semakin bongak dan ada pula yang lebih bongok daripada yang lain-lain. 'Bongak'
bererti sombong, angkuh dan pongak. 'Bongok' bererti bodoh ataupun
dongok. Malahan di beberapa daerah di kepulaun Melayu 'bongak' boleh juga bererti
'bongok'.
Soalan di atas ini tentu perlu kita tanya dulu kepada orang Melaka kerana
mereka kini dihantui satu dilemma yang belum pernah mereka alami sejak negara ini mencapai
kemerdekaannya. Nampaknya masalah orang Melayu Melaka di zaman bersultan dulu sudah
kembali semula. Mereka terpaksa banyak 'bersabau' memikirkan apa sudah jadi kepada negeri
yang mula beraja dan kini sudah pun lama tiada itu. Apakah ketua menteri yang baru ini
seorang yang bongak ataupun seorang yang bongok ? Bagimana tidaknya ? Inilah ketua menteri
yang tidak tahu membezakan apakah sebenarnya fungsi seorang ketua kerajaan negeri dengan
fungsi seorang pemimpin parti politik.
"Kalaulah dia tahu dua perbezaan yang
amat ketara itu, tidaklah orang Melaka meracau untuk bersabau. Hinggakan ramai orang
kampung keluau ke bandau untuk menjenguk muka si lahabau." Demikian marahnya seorang
veteran UMNO daripada Melaka yang saya hubungi untuk mendapatkan reaksinya. Memang banyak
lagi yang dicakapkannya tetapi hampir semua perkataannya itu tidak boleh diturunkan di
dalam penulisan ini. Maklumlah orang Melaka. Kalau sudah marah, tidak ada perkataan baik
yang digunakannya. Sedangkan dalam keadan baik-baik pun ada orang Melaka yang suka
menggunakan perkataan yang mungkin dianggap kesat dan kasar di tempat lain, apatah lagi
ketika beliau geram amat sangat dengan Ketua Menteri mereka.
Penderaan Secara
Proksi
Sebagaimana yang kita tulis di bab yang baru berlalu, tindak-tanduk para
pemimpin UMNO yang baru dinaikkan pangkatnya amat memeranjatkan kita orang Melayu. Malahan
rintihan serupa telah juga diperkatakan oleh segelintir orang bukan Melayu di negara ini.
Mereka semakin celupar sehinggakan kata-kata dan tindakan yang mereka syorkan atau
laksanakan menunjukkan satu penderaan terhadap rakyat yang mengundi mereka ke mercu
kejayaan yang ada. Mereka bertindak ganas dalam penuh kelembutan dan bergaya lembut dalam
tindakan keganasan terhadap bangsa sendiri. Seolah-olah rakyat marhain adalah satu
golongan masyarakat hamba abdi yang tidak pernah bersekolah; kalau bersekolah pun
masyarakat marhain itu adalah satu golongan yang tidak tahu berfikir. Kalau tahu berfikir
pun masyarakat marhain itu mereka anggap sebagai golongan yang tidak berfikiran waras.
Apabila
penderaan sedemikian datangnya daripada Ali Rastam, seorang yang baru sahaja dilantik
menjadi Ketua Menteri, kita sudah dapat mengagak apakah jenis manusia yang dilantik ke
jawatan itu. Perwatakan yang serupa, cuma kurang menggilanya lagi, dipertontonkan
juga oleh Adnan Yaakob sehinggakan orang Pahang lebih gemar menyebutnya dengan nama Taiko
Adnan.
Kedua-dua nama di atas menonjol secara bersilih ganti sekarang ini di media
massa kerana fikiran dan tindakan mereka yang bukan sahaja melucukan tetapi menjijikkan
sekali. Mereka berdua ini sudah semacam berpakat untuk menandingi satu sama lain dalam
membuat kenyataan di media massa. Kalau kita lihat perangai mereka berdua ini tentu kita
masih teringat akan perangai tiga orang menteri besar di Kedah, Perlis dan Perak.
Ketiga-tiga menteri besar ini pun pernah berperangai sumbang dalam tindakan berpolitik
dan celupar dalam pertuturan politik mereka. Jadinya, sudah ada empat menteri besar dan
seorang ketua menteri yang seolah-olah bersekongkol mendera rakyat. Kenapakah perkara ini
terjadi dan bagaimanakah impaknya nanti ?
Strategi Baru Diktator Tua
Cuba
kita telitikan betul-betul, bukankah tindak-tanduk para menteri besar dan juga ketua
menteri Barisan Nasional sudah berubah sejak Mahathir pulang daripada bercuti ? Tindakan
mereka dan perkataan yang mereka hamburkan seolah-olah menunjukkan ada di kalangan mereka
ini yang sedang membuang tabiat. Mengikut budaya Melayu dan juga fahaman kehidupan orang
Asia, manusia yang berbuang tebiat ataupun tabiat adalah mereka yang sudah merasakan
semakin hampir ke gerbang kenyanyokan. Tetapi, hampir semua menteri besar dan ketua
menteri itu masih muda lagi. Hanya seorang dua sahaja yang mungkin melepasi umur
pencen wajib kerajaan. Kalau Mahathir boleh berkuasa ketika beliau sudah pun melewati 75
tahun, takkan pula menteri besar tidak mampu berkuasa sehingga ke tahap usia begitu?
Jadi, di manakah terletaknya misteri perubahan kelakuan mereka itu?
Jawapannya
terletak kepada cara kerajaan Israel di tadbir. Cuba kita perhatikan bagaimana setiap
presiden Israel memerintah. Tidak ada satu pun tindakan daripada kerajaan yang dimulakan
oleh presiden yang memerintah. Semuanya timbul dan dilaksanakan apabila sesuatu isu itu
menjadi hangat setelah dicetuskan oleh menteri dan juga ketua agama di negara itu. Inilah
taktik pemerintahan kerajaan Israel sejak Golda Meyer lagi. Cuba baca buku autobiography
Golda Meyer dan buku-buku lain tentang pentadbiran kerajaan Israel sebelumnya. Taktik
mendera rakyat dilakukan serupa sahaja. Inilah taktik yang digunakan oleh Mahathir
sekarang ini.
Taktik ini diperhaluskan lagi oleh Benjamin Netanyahu apabila dia
mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin agama di Israel. Pemimpin agama yang dari
beberapa mazhab mempunyai pengikut yang sudah lama taksub kepada pengaruh
mereka; telah digalakkkan mengemukakan beberapa ide yang tidak dapat diterima oleh puak
Palestin, secara berganti-ganti. Semua itu dijadikan bahan mengatur strategi politik
pemerintah yang kerap diawasi dan diteliti oleh negara barat, terutama sekali Amerika.
Oleh kerana Amerika Syarikat bebelanja besar untuk membiayai kerajaan Israel, Amerika
mahukan mereka tidak berapa berlebihan secara 'overacting' kerana takutkan pemimpin negara
minyak Arab berkecil hati. Oleh itu, pemerintah kerajaan Israel menggunakan taktik mendera
itu secara proksi melalui pemimpin muda dan juga pemimpin agama mereka.
Strategi Yahudi Yang Diperhaluskan
Berdasarkan kejayaan pemimpin Yahudi, UMNO dan
Mahathir telah memperhaluskan lagi strategi ini untuk menyesuaikannya di Malaysia. Kali
ini, menteri besar dan juga ketua menteri diarah bergilir-gilir mengemukakan sesuatu isu
yang baru untuk menarik minat rakyat. Tidak kiralah isu itu akan mendera rakyat ataupun
tidak. Yang penting sekali, isu yang ditonjolkan itu akan memudahkan Mahathir
lmelaksanakan peranannya sebagai algojo terulung negara. Cuba lihat kepada beberapa
program yang telah dilaksanakan:
i) Mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan Naib
Presiden UMNO. Cadangan in telah dibuat ketika tiga orang menteri besar berada di
Thailand. Mereka mengeluarkan kenyataan akhbar agar Tengku Razaleigh dicalonkan bagi
jawatan Naib Presiden. Mereka membuat pengumuman tentang poltik negara di negara
orang. Mereka mengungkitkan cerita konsensus Majlis Tertinggi UMNO di negara orang.
Kenapakah tidak dilakukan di tanah air sendiri? Apakah dengan membuat kenyataan akhbar
secara bertiga itu membawa 'oomph' kepada isu itu ? Ketika kenyataan itu dibuat Paklah
berada bersama mereka. Bukankah itu satu konspirasi?
Sebenarnya konsensus Majlis
Tertinggi adalah satu mainan politik yang didalangi oleh Mahathir yang mahu terus
berkuasa sehingga dia mati (maaf kalau saya berkata kesat sedikit, mungkin kerana terikut
perasaan orang Melaka sekarang ini). Tetapi, Mahathir mahu berdolak dalik seolah-olah dia
bersedia menerima tandingan bagi jawatan itu. Kerana itu ditekankan perkataan
"KONSENSUS". Kenapakah tidak digunakan perkataan "KATA SEPAKAT"?
Bukankah itu perkataan Melayu yang tepat dengan perkataan 'consensus'? Lihat, betapa
liciknya mainan politik orang UMNO. Mereka gunakan perkataan Inggeris untuk menggantikan
perkataan Melayu yang sedia ada. Kalau digunakan perkataan Melayu untuk membayangkan
perakara yang sebenar, mereka tahu mereka berdosa kepada bangsa mereka, kerana tidak ada
persafahaman untuk melantik Mahathir berkuasa sampai dia tidak bernyawa. Tidak juga ada
persemuafakatan untuk melantik Paklah ke jawatan yang dipegangnya secara 'default' itu.
Kerana
itu bila Mahathir berdepan dengan orang Melayu di London, apakah yang dikatakannya dengan
isu 'konsensus' itu ? Jawapannya, ialah:
"......terpulanglah kepada ahli UMNO menerima pandangan Majlis Tertinggi. Keputusan
konsensus itu adalah satu panduan sahaja."
Bukankah ini jawapannya di
London dulu ? Kenapakah lain pula caranya sekarang, sehinggakan menteri besar dan ketua
menteri sanggup bertegang urat dengan ahli-ahli UMNO mengatakan bahawa konsensus itu
bererti keputusan muktamad? Kenapakah sekarang ini pencalonan di persidangan bahagian
dilakukan secara berkumpulan dan tidak secara individu dan mengikut jawatan? Sekali lagi
orang Melayu dibongokkan oleh Mahathir dan para juaknya. Sekali lagi orang Melayu
bersorak dalam hati "Biarkan, biarkan....!"
ii)
Menteri Besar Perak yang baru Tajol Rosli telah merancang agar Tengku Razaleigh dicalonkan
untuk jawatan Naib Presiden parti. Beginilah liciknya permainan politik anak bekas
menteri besar Perak ini. Kini dia menjadi menteri besar dan memegang satu jawatan yang
pernah dipegang oleh ayahnya satu ketika dulu. Ayahnya yang pernah menjadi
"overseer" DID akhirnya telah menjadi Menteri Pertanian melalui perjuangan
beliau dalam UMNO. Tidak lama selepas itu Tengku Razaleigh pun memasukki politik dan
menjadi menteri muda kabinet dan tentunya pernah menepuk dan memegang bahu Tajol yang
masih mentah ketika itu. Bukankah Tajol pernah memanggil Tengku Razaleigh 'uncle' satu
ketika dulu? Di manakah Mahathir ketika Tajol mula-mula mengenal Tengku Razaleigh? Inikah
yang dikatakan budaya Melayu menghormati yang tua dan yang pernah berjasa ?
Tajol
bersama dua menteri besar negeri-negeri di utara itu telah melaksanakan satu missi yang
dilakar oleh seorang diktator tua untuk memberi nafas baru kepada satu muslihat politik
yang telah ditolak oleh rakyat. Konsensus MT telah ditolak oleh rakyat. Tetapi dengan
menggunakan muslihat politik dan kuasa politik, Mahathir berjaya menggondol banyak lagi
pencalonan untuk mengenepikan Tengku Razaleigh Hamzah. Taktik peras ugut ini tidak dapat
berjalan licin kalau Ali Rastam tidak turut sama.
iii) Ali Rastam telah dikudakan
oleh seorang diktator tua untuk melaksanakan rencana peras ugut secara melambak dan
terbuka. Dia mengugut dua bank yang condong kepada amalan perbankan Islam agar
mendisiplin pegawainya atas dasar tohmahan pembocoran rahsia perbankan. Apakah itu benar
seratus peratus? Apakah tidak ada rahsia perbankan yang dicocorkan oleh pegawai bank lain
yang sampai ke tangan kerajaan Singapura dan media massa luar sebelum ini? Siapa yang
membocorkan rahsia urusniaga bank rakyat yang menjatuhkan Harun Idris satu ketika dulu?
Bukankah kebocoran rahsia bank itu diketahui oleh orang luar sebelum akhbar tempatan
mengetahuinya ? Adakah apa-apa tindakan diambil terhadap bank-bank asing yang membocorkan
rahsia itu dulu?
Agenda Sebenar Mendera Pegawai Bank Bumi-Commerce dan B.Islam
Kita
nampak betapa jahatnya Ali Rastam dan Mahathir dalam perkara ini. Cuba kita bayangkan
apakah dosa sebenar pegawai bank Bumiputra yang sekian lama menanggung aib dan malu serta
kerugian kerana bank itu telah diselamatkan daripada kemuflisan sebanyak tiga kali. Tidak
ada sebuah bank pun di dunia ini yang muflis tiga kali dan diselamatkan oleh kerajaannya.
Kenapa? Kerana sebahagian besar pinjaman telah dibalun oleh orang politik. Kerana
sebahagian projek yang dibiayai oleh bank itu adalah projek orang politik. Kerana bank itu
dianggap sebagai almari wang di rumah sendiri oleh segelintir pemimpin terkanan UMNO.
Itulah jawapannya yang sebenar.
Di sini kita perlu menyorot sejarah sedikit.
Sekitar 80-an, Bank Bumiputra di Jalan Melaka berpindah ke seberang jalan ke pejabatnya
yang baru. Dengan izin Allah dan juga kehendak sesiapa yang masih lagi samar ketika
ini, bank yang lama terbakar daripada bahagian tengah. Siapa membakarnya tidak diketahui.
Tetapi, apakah kemungkinannya ada beberapa dokumen penting yang masih belum dipindahkan
terbakar sama ketika itu ? Tidak ada sesiapa yang mahu memberitahu.
Sehubungan
dengan itu mungkin kita elok catitkan berita kebakaran JPJ di Ipoh yang membakarkan juga
mesin komputer mengeluarkan lesen. Siapa yang membakarnya pun tidak diketahui. Tetapi,
orang veteran JPJ tentu berani beritahu bahawa kebakaran itu dirancang untuk membolehkan
pengeluaran lesen palsu bagi sesiapa yang tidak mahu menjalani pemerikasaan memandu
kereta. Lesen pendua dikeluarkan berdasarkan rekod memandu yang terbakar dalam komputer
yang 'dibakar' di Ipoh dulu.
Kalau konspirasi pembakaran mesin komputer di Ipoh
dilakukan untuk membolehkan sindiket lesen palsu berurusan terus dengan perniagaannya,
apakah serba mungkin pembakaran Bank Bumiputra di Jalan Melaka dulu dirancang untuk
membakar hangus hutang bertapuk para pemimpin politik dalam UMNO dan BN?
Sebenarnya,
banyak lagi cerita lama yang disimpan dalam fail persendirian beberapa ratus pegawai bank
Bumiputra yang merasakan diri mereka dianiayai oleh pemimpin UMNO. Mereka yang sungguh
setia dengan bank itu satu ketika dulu sanggup terus menyambung khidmat sehingga tahap
persaraan sambil mengharapkan keadaan beransur pulih dan dapatlah mereka menerima bonus
dan tunggakan kenaikan gaji yang tersekat begitu lama. Apakah yang terjadi akhirnya?
Mereka merasa hampa apabila mendapat tahu Bank Bumiputra yang banyak berhutang kepada
Bank of Commerce akhirnya mengambil alih teraju pentadbiran penggabungan bank. Inilah
orang Melayu yang lama berkhidmat kepada Bank Bumiputra yang dianggap tidak tahu bersyukur
kepada kerajaan yang memerintah.
Di sinilah silapnya Ali Rastam. Ini juga
menggambarkan betapa ceteknya pegangan agama beliau kerana mudah dikotak-katikkan oleh
seorang diktator tua. Di manakah Ali Rastam, ketika sebilangan besar pegawai Melayu Bank
Bumiputra kepedihan kerana malu bekerja dengan sebuah bank yang tidak mampu membayar bonus
mereka sedangkan pegawai bank lain menerimanya? Di manakah Ali Rastam yang satu ketika
dulu menjadi pemimpin belia antarabangsa ketika pegawai bank tidak menerima kenaikan gaji
tahunan mereka?
Kita tahu, Mahathir dan Ali Rastam mahu memperbodohkan orang Melayu
akhirnya dengan mendera pegawai bank Bumiputra-Comerce dan Bank Islam. Ali Rastam
sebenarnya mahu menekan bank Bumiputra Commerce kerana banyak membocorkan rahsia untuk
melunturkan kewibawaan Daim. Tetapi untuk tidak menampakkan sangat strategi busuk itu
dibabitkan sama Bank Islam. Ali Rastam ingat orang Melayu sekarang mudah sangat
percaya dengan perancangan kotor yang dilakar oleh Daim dan Mahathir itu. Dia ingat
orang Melaka bongok macam dia !!!!
Bila Pemimpin Bermusuh Dengan Rakyatnya.
Kegilaan
Ali Rastam berterusan. Dia sudah memusuhi orang Melayu yang bekerja di bank.
Kemudian dia memusuhi pula orang Melayu professional di bahagian perubatan dan juga
perundangan. Kemudian dimusuhinya pula para kontraktor Melayu. Kenapa ?
Kita boleh
nampak sebarang tindak-tanduk Ali Rastam sebagai sebahagian daripada satu "Grand
Design" yang dilakar di Putrajaya. Apakah rakyat bodoh; boleh mudah sangat
mempercayai bahawa Ali Rastam tidak berotak langsung untuk memerangi rakyat Melaka? Berapa
lama sangat Ali Rastam memerintah negerinya itu?
Mengikut hukum pengurusan
seseorang ketua ekskutif memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyesuaikan
dirinya kepada suasana kerja yang baru. Bagi seorang Ketua Menteri seperti Ali Rastam
atupun menteri besar seperti Taiko Adnan, Tajol Rosli dan Sheikh Razak, enam
bulan itu pun belum cukup untuk menyesuaikan diri kerana keadaan politik tanah air yang
bergelora. Sekejap timbul La Nina sekejap muncul La Nino. Inilah pergolakan politik
yang disulam pula oleh majlis UMNO pada Mei ini. Tentu sekali seseorang pemimpin seperti
Ali Rastam perlu melawat setiap jajahan di Melaka dan bertemu dengan pemimpin rakyat
tempatan dan mencari maklumat yang boleh meneguhkan kerajaannya. Kepimpinan satu
pemerintahan yang dilantik oleh rakyat boleh jatuh tersungkur disebabkan sentimen marah
rakyat. Inilah hakikat pemerintahan politik di mana juga. Baik kerajaan itu bersikap
demokrasi, sosialisme ataupun komunisme.
Pepatah Melayu berkata: 'Raja yang Baik
Raja disembah, Raja yang salah, raja disanggah.' Melaka tidak pun mempunyai raja. Gabenor
yang ada pun bukannya anak Melaka. Ia didatangkan daripada negeri atas angin oleh
seorang diktator tua yang memerintah negara secara atas angin juga. Jadinya, pada orang
Melaka, Ali Rastam adalah pemimpin rakyat yang paling terdekat bertaraf raja, kalau
mengikut tatasusila melayu lama. Dengan hal yang demikian Ali Rastam harus menentukan
beliau menjadi seorang pemimpin yang disayangi rakyatnya dan bukan dibenci oleh rakyatnya.
Tidak ada sesuatu yang tidak dapat diselesaikan dengan rakyat secara berunding dan
bermuzakarah. Kenapa perlunya Ali Rastam bermusuh dengan insititusi Melayu sedangkan
permusuhan itu akhirnya berpanjangan dan disasarkan kepada orang Melayu juga ?
Bila Masyarakat Melayu Melaka Membungkam
Orang Melaka terkejut
dengan tindakan
Ali Rastam mendera bangsanya sendiri secara bersiri. "Kami menjadi
membungkam" kata mereka. Mereka menjadi membisu buat seketika kerana tidak percaya
seorang pemimpin yang dijangkakan mempunyai masa depan yang cerah dalam arena politik
Melayu sanggup celupar dan bertindak ganas terhadap bangsanya. Majoriti ahli veteran UMNO
percaya bahawa tindakan Ali Rastam itu adalah satu taktik menunjukkan siapa yang berkuasa
sebenarnya di Melaka. Siapa yang berkuasa dan berpengaruh ketika inilah, maksudnya.
Mereka percaya, Ali Rastam tidak berani mengangkat ekornya yang masih pendek itu kalau
tidak disebabkan ada satu kuasa besar di belakang yang mengarahkan beliau bertindak
demikian. Kuasa besar ini tentunya seorang yang lebih berkuasa daripada Tun Ghafar Baba
yang dianggap oleh orang Melaka paling layak menjadi gabenor negeri itu. Siapakah orang
yang mendalangi kelakuan bongok dan bongak Ali Rastam itu kalau bukan sorang diktataor
tua. Bukankah beliau orangnya yang mendalangi setiap tindakan rakus pemimpin UMNO selama
ini secara proksi?
Bila Orang Sanggang Berdendam
Keceluparan Ali
Rastam adalah amat mirip dengan kelakuan Adnan Yaakob. Beliau kini digelar Taiko Adnan
kerana keberanaiannya menyanggah rakyat biasa di depan khalayak ramai. Walaupun Adnan cuba
membuat 'damage control' dengan penjelasan berbelit di media massa, alasan yang
diberikannya itu tidak diterima oleh orang Pahang.
Esok, nama wakil Barisan
Alternatif akan diumumkan. Esok jua orang ramai akan berpusu-pusu ke Sanggang. Saya ingin
mencadangkan agar orang luar masuk ke simpang Kampung Tan Sri Yahaya di Songsang dan
terus pergi ke Sanggang hingga ke tambatan lama yang menampakkan Sungai Pahang. Cuba
perhatikan Balai Polis di situ, sebuah rumah Melayu dua tingkat yang digunakan juga
sebagai pondok polis. Di sebelah jalan yang kecil itu terdapat pejabat Kadi Sanggang Tuan
Kadi Abu Bakar bin Dato Shabuddin. Di sebelahnya terletak pejabat penghulu lama. Pejabat
barunya sudah pun berpindah berdekatan dengan sekolah di mana Paklah membuat pembukaan
pelancaran K3P Sanggang. Perhatikan juga padang sekolah itu di mana tercacak
beberapa tiang lampu letrik yang digunakan untuk keramaian majlis itu. Cuba perhatikan
jalan masuk ke Sanggang itu di mana di kedua belah jalan terletaknya projek FELCRA Kampung
Loyang dan Sanggang. Cuba bayangkan kelebaran jalanraya itu yang tidak lebih daripada 10
kaki. Inilah tahap kemajuan Sanggang sejak diperintah oleh UMNO. Inilah keadaan orang
Melayu sejak kemerdekaan dicapai. Saya tidak mahu menulis banyak tentang hal ini kerana
tidak mahu mengabui mata rakyat yang akan mengundi pada satu April ini. Memadailah kalau
saya ajak para pembaca yang akan ke Sanggang kelak pergi melihat keadaan perkampungan
orang China di Mentakab dan di kawasan masuk ke perkampungan orang Melayu. Cuba lihat
keadaan infrastruktur yang diberikan kepada penduduk asing.
Ternyata sangat orang
Melayu Pahang jauh ke belakang dalam penerimaan kemudahan kerajaan yang memerintah. Apakah
kerana itu Taiko Adnan mengisytiharkan penubuhan satu tabung khas berjumlah dua juta
ringgit untuk membantu orang kampung yang daif? Cuba baca Berita Minggu Mukasurat 9 di
bawah tajuk: Pahang Tubuh Dana Khas Bantu Warga Tua. Yang peliknya kenapakah dana
itu akan mula mengeluarkan bantuan itu pada bulan hadapan, selepas pengundian di Sanggang
? Mengikut orang Sanggang yang saya temui semalam, apalah sangat boleh diharapkan daripada
Taiko Adnan. Lihat dulu apa sudah jadi kepada projek Hospital Temerluh yang terbengkalai
sejak 10 tahun yang lalu. Saya telah pergi melihat tapak projek itu berpandukan pendedahan
Harakah dan mampu ketawa dengan janji itu. Saya tanya beberapa orang Pahang akan perkara
itu. Jawapan mereka amat mudah sekali. "Apa yang diharapkan sangat dengan janji orang
UMNO. Tanggunglah sendiri buat seketika. Nak mengadu kepada Sultan pun bukannya dia ada
waktu ini. Kalau ada pun bukannya dia mudah ke tempat kami ini !!!"
Sepatutnya
kalau pemimpin UMNO pandai dan bijak, Sanggang boleh menjadi perkampungan contoh di negara
ini. Projek peliharaan ikan dalam sangkar sahaja mampu memajukan Sanggang. Cuba pasarkan
Ikan Patin secara meluas di Kuala Lumpur. Jangan biarkan pasaran ikan itu cuma di
tepi-tepi jalan dan di kedai makan sahaja. Cuba buat secara lebih serius, ikan itu boleh
diekspot dengan secara lebih berkesan. Tetapi, tidak.
Temerluh dan Mentakab
terkenal dengan kem tenteranya. Kenapakah dibiarkan tenaga tentera ini hanya di kem mereka
di waktu aman ini ?. Kenapakah tidak digembeling tenaga itu menjadi satu dengan memajukan
seluruh kawasan Pahang, dengan membuat bebrapa 'pilot project' di Sanggang?
Kita tahu projek semacam itu tidak akan ditaja oleh kerajaan kerana ia tidak mendatangkan
keuntungan pada para kroni. Tidak ada jutawan segera dalam projek semacam itu. Tetapi,
kalau ada pemimpin Pahang yang mementingkan kesenagan rakyat, gunakanlah tenaaga askar
yang ada dan majukanlah Pahang sebagai contoh kepada pemimpin negara yang lain.
Sanggang mempunyai tanah yang luas sebagai tapak projek cubaan itu. Kenapakah projek
semacam ini tidak mahu dimulakan. Apakah pentingnya perojek K3P yang dirasmikan
pembukaanya oleh Paklah sedangkan bangunan 'Ummah Maskamu Sanggang' berada dalam keadaan
terbiar di Sangang itu? Mungkin tidak ada sesiapa yang mahu menunjukkan bangunan itu
kepada Paklah. Malahan, mungkin tidak sesiapa dapat menjangkakan bilakah Mahathir
akan muncul dengan temberang baru untuk rakyat Sanggang.
Kesimpulan
Kelakuan
para menteri besar, ketua menteri dan juga beberapa pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini
memang dibenci oleh rakyat. Tetapi mereka tidak peduli dan terus mendera rakyat dengan
beberapa tindakan yang bukan sahaja menjujikkan tetapi juga memalukan bangsa Melayu.
Mereka tentunya tidak mampu berbuat demikian melainkan ada arahan daripada 'atas'.
Siapakah yang mengarahkan ini semua kalau bukan pemimpin unggul parti yang memerintah?
Kalau dibandingkan cara pemerintahan kini amat mirip dengan taktik pemerintahan kerajaan
Israel, kita dapat jangkakan rakyat akan terus didera agar mematuhi dan mempercayai arahan
dari 'atas' itu.
Di Israel, penderaan terhadap rakyat ditentang oleh rakyat
mengikut dua cara. Orang Yahudi menentangnya dengan mendapatkan sokongan Amerika dan juga
secara menggunakan media massa dan alat elektronik yang lain. Tetapi, orang Islam dan kaum
Palestin menentang penderaan kerajaan itu dengan menggunakan batu, lastik dan
semangat 'intifada' Apakah itu yang dinantikan oleh Mahathir dan juga para pemimpin UMNO
yang lain?
Tidak cukupkah bukti yang dikeluarkan oleh ajaran Islam dan dicatatkan
dalam Al Quran betapa penderaan terhadap rakyat itu amat bertentangan dengan amalan agama?
Apakah sebenarnya yang disasarkan oleh Mahathir dan juga para juak terbarunya seperti Ali
Rastam, Adnan Yaakob. Tajol Rosli, Shahidan Kassim dan juga Sheikh Razak? Apakah pula
matlamat mereka memusuhi rakyat yang mengundi mereka ke mercu kejayaan karier politik itu
?
Siapkah yang bongak dan siapa pula yang bongok dalam hal ini. Apakah tindakan
rakus pemimpin kerajaan negeri itu melambangkan kepincangan Mahathir kerana
melantik mereka ke jawatan itu? Apakah Mahathir sudah nyanyuk sehingga dia sendiri pun
sudah bongak dan bongok? Ataupun apakah orang Melayu dalam UMNO itu yang pada
keseluruhannya telah disihir agar terus bongak dan bongok juga? Dapatkah para pengundi di
Sanggang memberikan jawapannya???
Marhaintua@Hotmail.com
..bersambung.... 21.3.2000.
|